AKU INGIN BERUBAH ? BAGAIMANA CARANYA ?
Saturday, 31 August 2013 | 19:56
Cara untuk berubah menjadi lebih baik di sisi Allah
- Taubat.
- Solat jemaah.
- Dengar kuliah agama.
- Dekatkan diri dengan masjid/surau.
- Berkawan dengan orang alim.
- Kurangkan bercakap.
- Kurangkan ketawa.
- Elak bercakap tentang orang.
- Belajar ilmu agama.
- Baca Al-Quran.
- Belajar, beramal dan sampaikan kepada orang lain.
Audit diri, perbaiki hati, akhlak dan amalan.
Saya hanya mampu berikan tips, dan ianya berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya sendiri. Semua ini hanya menjadi teori semata-mata selagi mana ia tidak diamalkan. Dan saya yakin, tidak semua orang mampu melakukan, tetapi lakukan apa yang mampu agar kita tidak menangis di akhirat kelak.
1. Walau apa pun jua perkara, niat itu penting. Kerana ia permulaan sesuatu amal. Ibarat kunci kepada sesuatu kenderaan. Pasang niat kerana Allah semata-mata.
2. Niat sahaja tidak cukup, tetapi pasang matlamat atau target yang membakar tetapi munasabah. Sebagai contoh, dari yang tidak bertudung ingin bertudung. Pasang matlamat, mulai esok akan pakai tudung sampai bila-bila. Tidak mahu “on-off” lagi. Tetapi “one-off” terus.
3. Buang tanggapan atau prasangkan negatif terhadap diri. Contohnya, buang perasaan “aku tak mampu”, “aku tak layak”, “aku tak kuat”, dan sebagainya. Yakinlah, Islam diturunkan untuk semua manusia, dan selayaknya semua manusia mampu mengamalkan Islam. Bukankah Allah tahu kemampuan hamba-hambaNya?
4. Buang perasaan negatif terhadap semua perkara di sekeliling. Contohnya, “kalau aku berubah, mesti ramai kutuk aku”, “kalau aku berubah, nanti tiada siapa nak kawan dengan aku”, “kalau aku berubah, nanti ramai unfriend dengan aku” dan sebagainya. Setiap kata-kata itu doa, adakah kita nak perkara itu semua berlaku? Kalau tak mahu, tak perlu fikir. Kita buat perkara baik, bukan nak merompak.
5. Awal-awal lagi, persiapkan diri dengan perisai “kalis maki”, “kalis caci” dan “kalis dibenci”. Kerana apa? Kerana kemungkinan besar semua ini akan berlaku selepas kita berubah menjadi baik. Maka, kena kuatkan kesabaran untuk bersabar.
6. Ini yang penting, lakukan langkah demi langkah, jangan tergopoh gapah! Contohnya, kalau sebelum ini tak pernah solat, mulakan solat bersendirian di bilik 5 waktu. Tetapi kalau mampu, solatlah berjemaah di surau atau masjid.
7. Tekad! Jangan tangguh-tangguh lagi dengan alasan, “belum sampai seru”, “aku belum bersedia lagi”, dan sebagainya. Kematian tidak menunggu kita, kita tak mampu mengubahnya. Tetapi kita mampu mengubah diri kita. Siapa mampu jamin boleh hidup sampai esok?
8. Laksanakan sesuatu perubahan itu istiqomah dalam tempoh masa kurang lebih 40 hari. Insya Allah, biasanya sesuatu tabiat baru dapat dibentuk dalam jangka masa tersebut.
9. Anda dah bersedia untuk berubah? Maka saya cadangkan, kita pergi ambil wudu’, kemudian buat solat sunat taubat dua rakaat. Pastikan solat pada waktu yang dibenarkan!
10. Akhir sekali, selepas solat, dan setiap kali selepas solat fardhu, banyaklah istighfar dan berdoa serta bertawakal agar Allah menetapkan hati kita untuk kekal sampai jadi mayat.
“Wahai Tuhan pemilik hati-hati manusia, janganlah Kau memperbolak balikkan hati-hati kami setelah Kau memberi hidayah kepada kami..”
Penambah perisa
Setiap manusia perlukan sokongan, terutama sekali ketika kita berseorangan. Sedangkan Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam perlukan teman dan sahabat-sahabat baginda, inikan kita insan biasa yang penuh dosa. Maka, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan selepas berubah, antaranya ;
1. Mencari sahabat-sahabat yang baik. Sahabat yang baik ibarat penjual minyak wangi, kalau kita dekat pada dia, insya Allah kita akan mendapat tempias wangiannya. Macam mana tanda sahabat yang baik? Kalau lelaki, dia rajin berjemaah di surau atau masjid, menjaga al Quran dan sebagainya. Kalau perempuan, dia menjaga solat 5 waktu, menjaga auratnya dengan sempurna, menjaga batas pergaulannya dan sebagainya. Yang lain-lain itu, kita boleh nilai sendiri.
Dan seperkara lagi, jangan beranggapan, “ala, dia tu iman plastik, luaran nampak baik, tapi perangai macam haram”, dan lain-lain. Bersangka baik sentiasa. Itu penting!
2. Rajin pergi majlis-majlis ilmu. Berubah sahaja tidak cukup, baca blog sahaja pun tidak cukup, kena ada pengorbanan untuk pergi ke majlis-majlis ilmu. Kita mahukan cinta Allah kan? Sedangkan cinta itu sifatnya menagih pengorbanan. Maka berkorbanlah untuk Allah!
3. Cari persekitaran atau suasana yang soleh.
Perjalanan yang panjang bermula dengan langkah pertama
Hidup ini sekitar 50 hingga 60 tahun sahaja. Tak lama, walaupun ada yang hidup lebih lama dari itu, dan ada yang lebih singkat dari itu! Sekarang ini mungkin ada yang berusia belasan tahun, ada yang 20-an, bahkan ada yang mencecah 50 tahun.
Kita tiada masa untuk berfoya-foya lagi. Tambahan, kita pun tidak tahu bila kita akan mati.
Perubahan itu memerlukan masa, ia berperingkat. Tetapi walau banyak mana pun peringkatnya, ia pasti bermula dengan langkah pertama. Dan langkah pertama itulah, yang perlu kita manifestasikannya dengan tindakan, bukan sekadar perkataan!
Jom kita berubah menjadi baik!
ini juga merupakan satu motivasi untuk saya yang masih dalam keadaan jahil untuk berubah..sekadar perkongsian..semoga hidup kita sentiasa dalam redha-Nya
ALHAMDULILLAH..Syukran kepada yang sudi membaca...
|